Thursday 30 June 2016

LEMANG PERIUK KERA, KETUPAT PULUT DAN KELUPIS DI SARAWAK


Lemang Periuk Kera 


Ketupat Pulut 


Kelupis 

MENJELANG Syawal iaitu esok hari sudah tentu ramai muslimin dan muslimat seantero dunia sedang rancak dengan sambutan 1 Syawal.  Bermulalah episod mendapat segala bahan-bahan untuk membuat rendang mahupun kari bagi juadah pembuka selera untuk keluarga dan tetamu di pagi hariraya.

Di Sarawak, tradisi ini juga tiada bezanya dengan masyarakat di Semenanjung Malaysia dan jika di negeri-negeri lain sibuk dengan lemang dan ketupat tetapi untuk di Sarawak terdapat beberapa menu tradisi yang sinonim dengan masyarakat Islamnya.  Lemang Periuk Kera, Ketupat dan Kelupis adalah antara menu wajib dan agak berbeza daripada masyarakat Islam lain di negeri yang lain.

1.  Lemang Periuk Kera
Yang sering kita ketahui adalah lemang yang dimasak di dalam buluh tetapi di Sarawak ada satu lagi jenis lemang yang dikenali sebagai Lemang Periuk Kera.  Ianya adalah menu yang menjadi tradisi bagi masyarakat Islam berbangsa Bidayuh di Sarawak.  Tumbuhan hutan yang bernama Periuk Kera akan dijadikan asas untuk memasak lemangnya.  Di dalam periuk kera itu akan disumbat dengan nasi pulut merah yang mempunyai aroma tersendiri serta lazat dimakan dengan rendang dan sebagainya. 

2.  Ketupat Pulut
Ketupat sememangnya amat sinonim disediakan sewaktu hariraya namun ketupat yang ada di Sarawak agak berlainan daripada ketupat yang disajikan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah.  Ketupat pulut di Sarawak diisikan dengan nasi pulut dan serta dicampur dengan santan. Ini menyebabkan ketupat yang dimakan seakan-akan mempunyai kanjinya yang tersendiri.  Dan saiz ketupat yang dianyam juga mempunyai bentuk-bentuknya tersendiri samada segiempat ataupun segitiga. 

3.  Kelupis
Menu ini sudah tentunya tiada di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan hanya ada di Borneo samada di Sabah, Sarawak mahupun Brunei.  Ianya juga antara menu wajib ada ketika sambutan hariraya.  Keenakannya sama seperti memakan ketupat pulut biasa tetapi agak berkanji dan manis.  Membuatnya Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kepakaran kerana kedudukan ikatannya harus ketat agar tidak terbuka sewaktu memasaknya pada jangkamasa yang agak lama. 

Hanya sedikit perkongsian mengenai keunikan juadah berhariraya di Sarawak.  Yang pasti mungkin ramai orang Islam Sarawak sudahpun mula membeli daun palas yang menjadi asas kepada penyediaan ketupat pulut dan kelupis. Sementara untuk lemang periuk kera kebiasaannya menjelang hariraya pasti ada penjual yang sudah meredah hutan untuk menjadikan periuk kera sebagai produk jualannya. 


Selamat Berhariraya semua. 

No comments:

Post a Comment